Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi. Begitulah juga orang yang cantik, kebanyakannya jarang berbudi.
Apabila
si gadis dipuji dengan kata-kata, “Kamu ni cantiklah,” Maka akan
menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah dia.
Ah… Siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan menawan? Begitulah resam manusia. Seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.
Tetapi
lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya.
Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.
Wanita
yang cantik selalu ditimpa ‘perasan’ kerana sedar dirinya punya
kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,
seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup
menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi
andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika
dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka
suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan
kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya.
Jadilah laksana Nakhoda,
Ke mana diarah di situlah perginya,
Alangkah dayusnya dia,
Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk,
Dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai,
Si suami pasti akan diugut,
Merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah
indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup
semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai
diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya.
Andai dia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang
indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi.
Lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah
ibarat bunga raya. Cantik warnanya, harumnya tiada.
Sebaliknya
wanita yang kurang cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya.
Sentiasa mencari keredhaan-Nya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi
harumnya memikat jiwa.
Antara bunga raya dan bunga cempaka, yang mana bakal di pilih?
Pastilah cempaka diminati orang.
Kasihan
si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan
yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi
tidak sedar diri jadi mainan.
Wanita
yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan
mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka
tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.
Usah
bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang
manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang
bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta
makhluk-makhluk-Nya.
Seharusnya
diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah
jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua
kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung pahala-pahala yang tinggal
akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke
jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung
mazmumah (sikap negatif) akibat dari kecantikan diri yang dijulang
bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan,
cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.
Bersyukur
dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu adalah
pemberi-Nya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah
dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap
lagi sunyi.
Tatkala
itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu
diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan?
Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum
segala-galanya terlewat sama-samalah kita mendaki anak-anak tangga
menuju ke puncak taubat.
Asal
manusia adalah dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu
wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman
Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan.
Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada
tanda keagungan Tuhan.
Dongakkan
kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah
kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang
dijadikan-Nya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah
terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung
pengajaran:
"Dan
apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila
kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu meminta
pertolongan.” (Surah An-Nahl: 53)